21 Februari, 2011

MENGAPA PERLU BERKAHWIN?

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :


Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).


Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.

Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti

Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.

Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.

Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)

Tindakan Terhadap Isteri Yang Nusyuz

Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:

1. Ketika nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas
suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.”
(Surah an-Nisa: 34)

Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:

- Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya:

“Bertaqwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”


-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.

- Menyebut hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhusebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.

- Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.

2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya. 

Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu
dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
(Surah an-Nisa: 34)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu
suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.

Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika
dirasakan tidak perlu. 

Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri shalehah sebagaimana firman Allah

Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Maka perempuan-perempuan yang shaleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya).”

(Surah an-Nisa: 34)

Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap isteri yang shalehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya:
“Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan rasulNya serta dengan mentaati suami.

Sumber : Mufti Brunei

Isteri Nusyuz Berdosa Besar

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan
ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajibvdilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syara‘.

Perintah Supaya Isteri Mentaati Suami

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syara’.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Qur’an, dan juga dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya:

Maksudnya:
“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Pengertian Nusyuz

Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Antara perkara-perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah sebagaimana berikut:

i. Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadhi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dan suami tidak memintakan fatwa untuknya.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

ii. Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syara‘ seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami
berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau tha‘un.

iii. Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

iv. Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit.

v. Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

vi. Isteri mendakwa suaminya telah menthalaqnya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Hukum Nusyuz Dan Kesannya

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada
isterinya akan gugur.

Sumber : Mufti Brunei

Memuji Rasulullah dan Batasannya

Terlampau Memuji Rasulullah SAW?


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 15 February 2011

Sempena menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W:
“Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”


Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik.Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut. Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.

Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.

Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan,
“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu; Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna;


Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia dikalangan makhluk Allah seluruhnya.”


Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji NabiNya, melalui beberapa firmanNya termasuk:
“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (al-Qalam:4) Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.”
(al-Hujuraat:2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita. Allah SWT berfirman:
“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.”
(al-Nur:63).

Tapi hari ini ada yang menyatakan bahawa menggelarkan Nabi SAW dengan “Sayyidina” itu sebagai salah dan melampau.

Mana mungkin memuji Nabi SAW itu sesat sedangkan para Sahabat RA yang mulia sering memuji Rasulullah SAW. Antara yang terdekepan dalam bab ini ialah Saidina Hassan bin Thabit RA sehingga telah diletakkan satu minbar khas baginya dalam Masjid Nabawi ketika zaman Nabi SAW lagi untuk memuji dan mempertahankan Baginda SAW. Maka antara syair Hassan ibn Thabit RA ialah:

“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar! Tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya! Tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas!”


Rasulullah SAW juga ada memuji dirinya sendiri agar kita semua tahu kadar kedudukan Baginda SAW seperti sabdanya :
”Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).”“Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.”“Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”
(Imam Tabrani dan al-Baihaqi di dalam al-Dala’il)

Pada kesempatan yang lain, Baginda S bersabda:
“Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”
(riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) Di dalam hadith lain pula Abu Sa’id berkata: Sabda Rasulullah SAW:
“Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.”
(Riwayat Imam al-Tirmizi)

Maka sempena Mawlid al-Rasul SAW 1432 Hijriyah ini marilah kita memurnikan kefahaman kita dengan menjauhi sangka buruk terhadap mereka yang memuji, menyanjung dan mengagungkan Nabi SAW. Sesungguhnya kemuliaan Nabi SAW itu begitu tinggi hingga terbuka ruang yang begitu luas untuk kita memuji dan mengungkapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW dengan secanggih yang kita mampu. Manakala batasannya pula adalah terhad dan sempit iaitu jangan sampai menafikan sifat asasi Nabi sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Semoga Allah SWT mengizinkan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa memuji dan berselawat ke atas kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http://ysofaklforms.blogspot.com/2011/02/terlampau-memuji-rasulullah-saw.html

20 Februari, 2011

Bagaimana Jin, Iblis dan Syaitan Mengganggu Manusia

Betulkah jin boleh merasuk dan boleh masuk ke dalam tubuh manusia?
Sebenarnya ada berbagai cara bagaimana jin boleh memasuki tubuh manusia sebagaimana sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Sayidah Syafiyyah binti Huyay , bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :

" Sesungguhnya Syaitan (termasuk jin) itu berjalan dalam tubuh anak Adam sebagaimana darah yang mengalir dalam tubuhnya ".

Jin juga dapat menguasai manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.
Jin boleh memasuki badan manusia sama ada dipinta sendiri oleh manusia atau tanpa kita sedari.  

Jin biasanya mendampingi kita dan memasuki tubuh kita melalui salah satu cara berikut:
-Melalui Khadam atau manusia itu sendiri menjadikan Jin sebagai sahabatnya.
-Melalui " saka Baka "
-Melalui Sihir yang di lakukan oleh manusia lain ke atasnya.
-Lalai dari mengingati Allah atau melakukan perkara-perkara yang di larang oleh Allah, bererti mendekatkan diri untuk di kuasai oleh Jin dan Iffrit.
-Melakukan kejahatan terhadap Jin tertentu seperti menjatuhkan sesuatu benda berat di sesuatu tempat yang ada Jin, tanpa menyebut nama Allah sehingga menyebabkan kematian anak Jin.
-Adanya Jin lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan yang suka bersolek atau wanita-wanita yang suka keluar rumah untuk memperlihatkan kecantikkannya dan tidak memakai tudung serta suka mendedahkan aurat.
-Amalan jampi serapah, doa dan ayat-ayat tertentu yang boleh mendatangkan Jin.

Apabila telah memasuki badan manusia, walau dengan apa cara sekali pun Jin tersebut akan mendiami salah satu tempat di dalam anggota tubuh badan manusia. (walaupun mereka bebas bergerak-gerak dalam badan manusia ) 

Tempat-tempat tersebut ialah:

1. Mata (kanan/kiri). Mereka berkumpul di mata kanan dan kiri. Sebab itulah jika seseorang itu membela atau telah dimasuki Jin dalam badan mereka, mereka tidak berani bertentangan mata dengan orang lain.

2. Di telinga (kanan/kiri). Manusia yang telah terasuk jin tidak suka mendengar nasihat dan teguran yang baik serta amat suka mendengar perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya.

3. Mulut. Manusia yang telah dimasuki jin amat suka bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, melaga-lagakan manusia lain dan sebagainya.
 
4. Hidung. Menyebabkan manusia suka menghidu benda-benda yang tidak elok dan boleh merosakkan diri manusia sendiri.

5. Di ari-ari ( pusat ), menyebabkan orang tersebut sentiasa mengalami sakit dalam perut dan pelbagai penyakit yang tidak boleh dikesan oleh doktor atau pakar perubatan.

6. Di kemaluan manusia, menyebabkan manusia suka melakukan perkara-perkara maksiat seperti berzina dan sebagainya.

Manusia yang selamat dari gangguan jin , iblis dan syaitan adalah manusia yang sentiasa berada dalam Tauhid (mengesakan) Allah, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam.
Jalan paling dekat untuk berada dalam tauhid Allah ialah dengan kita mengambil contoh perbuatan dan kelakuan mereka yang setiap waktu dan masa berada dalam tauhid Allah, seperti Nabi Muhammad, sahabat-sahabat baginda, para ulama dan sebagainya.
Dengan itu Insyaalah akan menyampaikan diri kita zahir dan batin berada dalam tauhid Allah di semua tempat, waktu dan masa melalui anggota, lidah dan hati sebagaimana mereka, iaitu selamat daripada gangguan para Jin, Iblis dan Syaitan atau seumpamanya.
KATA ULAMA :
" Kun Ma’Allah fain lam takun ma’Allah, fakun Ma’a man ma’Allah fainnahu yusiluka illallaah "
Maksudnya :
" Hendaklah jadikan diri kamu bersama Allah, maka jika kamu tidak boleh jadikan diri kamu bersama Allah hendaklah kamu jadikan diri kamu bersama dengan mereka yang telah beserta dengan Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah "
Diri manusia mukmin yang menjadi kekasih Allah itu adalah seumpama kalbu Alam atau jantung alam atau pusat alam yang dikurniakan oleh Allah daya atau kuasa graviti mengikut darjah ketinggian imam, ilmu dan amalan mereka di sisi Allah. Diri-diri yang lain hanyalah di bawah atau di dalam kuasa atau graviti mereka.

WANITA MANDUL AKIBAT GANGGUAN JIN

Kemandulan itu terbahagi kepada dua iaitu kemandulan yang berlaku secara tabii yang boleh diorawat oleh para doktor, sebagaimana lazimnya dan kemandulan yang berlaku akibat gangguan jin yang boleh dirawat menggunakan ayat-ayat Al-Quran, doa-doa dan zikir.
Kemandulan Yang Berlaku Akibat Gangguan Jin Mempunyai Tanda-Tanda Tertentu, Antaranya;
Rasa sesak dada terutamanya selepas waktu asar, yang mungkin berlarutan hingga tengah malam.
Kusut fikiran.
Sakit dibahagian tulang-tulang belakang.
Mengigau ketika tidur.
Bermimpi dengan mimpi yang menakutkan.
Kemandulan yang berlaku pada kaum wanita di mana jin itu akan tinggal dalam rahim dan merosakkan benih menyebabkan benih-benih itu rosak dan tidak subur ataupun ia dibiarkan subur dan sempurna tetapi diganggu selepas beberapa bulan hamil menyebabkan turun darah, lalu keguguran. Keguguran yang berlaku berulangkali boleh terjadi akibat daripada gangguan seperti ini.
Dalam hadis Safiyah Binti Huyay bahawa Rasulullah bersabda :

‘ Sesunggguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah’. - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Satu hadis riwayat oleh Abu Daud, Imam Ahmad dan At-Tarmizi yang menyatakan tentang seorang perempuan bernama Hamnah Binti Jahah yang mengadu meminta petua kepada Rasulullah kerana mengalami masaalah turun haid yang begitu lama. Baginda menyuruhnya agar menggunakan kapas. Hamnah menjawab mengatakan yang dia telah berbuat demikian. Baginda menyuruhnya agar menggunakan kain yang agak tebal. Apa yang disuruh oleh baginda juga telah dilakukan oleh nya.
Akhirnya baginda bersabda : ‘Bahawa darah istihadah itu adalah sepakan daripada sepakan-sepakan syaitan ‘. - Riwayat At-Tarmizi.

Perempuan yang menghadapi masaalah keluar darah akibat gangguan yang boleh menyebabkan mandul hendaklah dirawat menggunakan doa-doa berkaitan dengan sihir disamping berusaha mendapatkan nasihat daripada doktor pakar.

Ada Dua Punca Utama Terjadinya Masalah Yang Dihadapi Oleh Kaum Wanita Yang Terlibat Selain Daripad Sebab-Sebab Fizikal:
1.  Akibat sihir.

2. Suka bersolek dan membuka aurat. 

Kecenderungan jin ketika memandang perempuan yang berkenaan. Jin-jin suka mendatangi perempuan yang suka bersolek berlebih-lebihan, yang tidak menjaga sembahyangnya, tidak membaca Al-Quran tetapi gemar mendengar nyanyian ataupun muzik keterlaluan, suka membuka aurat, juga gemar duduk bersolek di hadapan cermin. Mereka tidak menyedari bahawa perbuatan seperti ini menjadi tarikan jin-jin. Mereka masuk dalam bilik air, lalu menyanyi dan mandi dalam keadaan telanjang, padahal bilik air adalah di antara tempat kegemaran jin-jin jantan dan betina menyebabkan salah satu daripada makhluk-makhluk tadi tertarik pada jasadnya lalu ia meresap dalam tubuh dan mengganggunya.
Hadis di atas menjelaskan bahawa jin dapat masuk ke dalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia umpama arus elektrik yang mengalir dalam kabel penyalurnya. 

12 Jaminan PAS untuk MALAYSIA BARU

SHAH ALAM, 19 Feb: PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.

Dua belas jaminan ini terkandung dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar.

PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:

1.  PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;

2.  PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;

3.  PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu;

4.  PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;

5.  PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;

6.   PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;

7.   PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;

8.  PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga kepimpinan komuniti;

9.  PAS tetap mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan ekonomi Melayu;

10. PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;

11. PAS tetap mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan dan;

12. PAS akan terus berusaha memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang. 

Angkat martabat bangsa dan umat Islam
Sementara itu dalam ucapannya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dasar dan pendekatan Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS telah dibentangkannya untuk tatapan semua.

"Masa telah sampai untuk kita menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber bagi mengangkat martabat umat Islam, mendayakan bangsa Melayu dan melahirkan Politik Lita'arafu  yakni Politik Saling Menghormati.

"Semua usaha ini adalah bagi melahirkan sebuah Malaysia baru yang menjunjung tinggi tuntutan Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua yang bebas rasuuah, kezaliman dan penyelewengan kuasa.

Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berucap merasmikan konvensyen dengan memberikan penekanan terhadap peri pentingnya masyarakat negara ini diberi kefahaman paling tepat dan memudahkan.

Semua wakil PAS kawasan daripada seluruh negara hadir dalam konvensyen sehari yang turut menampilkan ramai tokoh antaranya; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Budayawan dan Cendikiawan terkenal, Prof Emiritus Dr Abu Bakar Abdul Hamid dan Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid.

Turut mendapat perhatian adalah ucapan dan pandangan daripada Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail termasuk AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pakar Sains Politik dan Aktivis Sosial, Dr Wong Chin Huat.

Buku Jingga sepuluh perkara
Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengemukakan Buku Jingga mengandungi sepuluh perkara jaminan terdiri daripada mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Jaminan itu juga meliputi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, KWSP dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti gas sebanyak RM19 bilion kepada penjanan bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;

Mengiktiraf peranan dan jasa awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru mendidik bangsa;

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;

Menyediakan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa rakyat;

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda dan;

Royalti Minyak 20 peratus
Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Negeri Sabah.

Sumber:
HARAKAH (Ismail Hashim)