25 Mac, 2011

TIRU TEKNIK CHE DET

Najib ikut budaya Mahathir

Saifuddin : Mahathir Dan Najib Perlu Bertanggungjawab 



PETALING JAYA 25 MAC : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail menggesa Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turut serta memikul tanggungjawab bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes fitnah video lucah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Saifuddin, kedua-dua tokoh tersebut memainkan peranan penting dalam menyuburkan budaya fitnah dengan memberi ganjaran dalam bentuk wang dan pangkat kepada individu-individu yang sanggup menjadi alat kepada Umno untuk mengekalkan kekuasaan.

"Fitnah telah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama, malah disaat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk
terus berkuasa.

"Walau pun bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan beberapa individu tampil menyatakan mereka terlibat, dua tokoh berpengaruh dalam Umno,
bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mereka yang harus memikul tanggungjawab," tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Saifuddin mengimbau kembali konspirasi 1998 yang dikepalai oleh Mahathir menunjukkan individu terlibat menjatuhkan Anwar, mendapat ganjaran besar.

Beliau memberi contoh kenaikan pangkat luar biasa Pegawai penyiasat kes fitnah pertama, Tan Sri Musa Hassan sehingga menjadi Ketua Polis Negara serta

Timbalan Pendakwaraya Tan Sri Abdul Ghani Patail yang menjadi Peguam Negara selain beberapa hakim yang terlibat dalam menjayakan dan memporak-perandakan
sistem kehakiman Malaysia.

"Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Augustine Paul dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Hakim Mahkamah Persekutuan."

"Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Datuk Richard Malanjum dinaikkan pangkat sebagai sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Datuk Ariffin Jaka
juga dinaikkan dari Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

"Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan," kata beliau.

Saifuddin yakin Najib kini menggunakan taktik sama seperti Mahathir selepas tuduhan rekayasa Anwar meliwat Saiful Bukhari Azlan serta 'kemunculan semula' Ummi Hafilda.

Beliau memberi contoh betapa pengakuan terbuka seorang ahli perniagaan, Baginda Minda oleh yang mendakwa bahawa seorang menteri senior menawarkan sehingga RM10 juta kepada Ummi Hafilda untuk berbohong terhadap Anwar di dalam mahkamah.

"Natijahnya, Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalakkan memfitnah dengan ganjaran besar menanti. Malah mereka juga
akan dilindungi.

"Kerana itu, Rahim Tamby Chik dan individu-individu tersebut berani membuat video seks palsu, iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia," kata beliau.

Negara pada Isnin lalu dikejutkan dengan tayangan video lucah secara terbuka di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Dalang kepada siri tayangan video lucah itu walau bagaimanapun tidak dikenakan sebarang tindakan perundangan meskipun perbuatan mereka menyalahi Seksyen 292 Kanun Kesiksaan dan Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menayang bahan lucah kepada awam.

Mereka juga hanya disoal siasat selama 5 jam berbanding tempoh 10 jam yang diperuntukkan untuk soal siasat ke atas pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock yang akhirnya membawa kematian kepada mendiang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan