10 Februari, 2011

BIAR ANAK BERDIKARI

Ibu bapa atau orang tua mana yang tidak mahu melihat anaknya membesar menjadi seorang anak yang berdikari. Nampaknya memang itulah salah satu tujuan yang ingin  dicapai  semua orang tua dalam mendidik anak-anak.
Sepatutnya sikap berdikari sudah dapat dibiasakan semenjak anak masih kecil lagi: memakai pakaian sendiri, memasang tali kasut  dan  bermacam  jenis perlakuan sehari-hari secara bersendirian. Kedengarannya memang mudah, namun untuk mempraktikkan di dalam kehidupan sehari-hari agak sukar. Tidak jarang orang tua yang merasa tidak sampai hati atau tidak sabar melihat si kecil yang berusaha memasang tali kasutnya  selama  beberapa  ketika,  namun masih gagal berbuat demikian.  Atau  terus sahaja  memberi  berlonggok nasihat,  lengkap dengan  cara  penyelesaian  yang harus  dilakukan, ketika  anak  selesai  menceritakan pertengkarannya dengan kawan sekolah. Memang masalah yang dihadapi anak sehari-hari boleh dengan mudah dapat diatasi dengan adanya campur tangan orang tua. Namun cara ini tentunya tidak akan membantu anak untuk menjadi seorang yang berdikari. Ia akan terbiasa “lari” kepada orang tua apabila menghadapi persoalan, dengan lain perkataan ia terbiasa bergantung kepada orang lain, untuk perkara yang kecil sekalipun.
Lalu apakah yang  boleh  dilakukan  orang  tua  untuk  membiasakan  anak agar tidak terus cenderung menggantungkan diri kepada seseorang, serta mampu mengambil keputusan sendiri?

Di bawah ini ada beberapa perkara yang dapat kita terapkan untuk melatih anak menjadi seorang yang berdikari.
1.    Beri Anak Kesempatan Membuat Pilihan
Anak  yang  terbiasa  berhadapan  dengan  situasi  atau  hal-hal  yang  sudah ditentukan  oleh  orang  lain,  akan  malas  untuk  melakukan  pilihan  sendiri. Sebaliknya bila ia terbiasa dihadapkan pada beberapa pilihan, ia akan terlatih untuk membuat keputusan sendiri bagi dirinya. Misalnya, sebelum menentukan menu pada hari itu, ibu memberi beberapa   alternatif masakan yang dapat dipilih anak untuk sarapannya. Demikian pula dalam memilih pakaian yang akan dipakai untuk pergi ke majlis kenduri atau ke majlis hari jadi kawannya, sebagai contoh. Kebiasaan untuk membuat keputusan sendiri dalam beberapa perkara sejak kecil memudahkan mereka pada masa akan datang untuk menentukan dan memutuskan sendiri perkara-perkara lain yang lebih besar di dalam kehidupannya.
2.    Hargailah Usaha Mereka Biarpun Kecil
Hargailah walau sekecil manapun usaha yang diperlihatkan oleh anak untuk mengatasi sendiri kesulitan dan masalah yang dihadapi. Orang tua biasanya tidak sabar menghadapi anak yang memerlukan waktu yang lama untuk membuka penutup tin biskut. Terutama bila saat itu ibu sedang sibuk di dapur, misalnya. Untuk itu sebaiknya orang tua memberi kesempatan padanya untuk mencuba dan tidak langsung turun tangan untuk  membantu  membukakannya.  Jelaskan juga kepadanya bahawa untuk membuka tin biskut akan lebih mudah jika menggunakan hujung sudu. Kesempatan yang anda berikan kepadanya melakukan perkara itu akan dirasakan anak sebagai penghargaan atas usahanya, sehingga akan mendorongnya untuk melakukan sendiri hal-hal kecil yang lain seperti itu.
3.    Hindari Daripada Banyak Bertanya
Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh orang tua, yang sebenarnya dimaksudkan untuk menunjukkan perhatian pada si anak, boleh dimaksudkan sebagai sikap yang terlalu banyak ingin tahu. Oleh sebab itu hindarilah kesan daripada perasaan cerewet kita terhadap anak-anak. Misalnya, anak yang baru  kembali  dari  sekolah,  akan  kesal  bila  diserang dengan  pertanyaan -pertanyaan seperti, “Basyir belajar apa di sekolah hari ni?”,  dan  “Kenapa seluar Basyir kotor sangat tu?", " Adakah Basyir bergaduh lagi di sekolah!” dan sebabgai. Sebaliknya anak akan lebih senang dan merasa diterima apabila disambut dengan kalimat pendek: “Hai anak mak dah balik dari sekolah!” Sehingga kalaupun ada perkara yang hendak diceritakan, dengan sendirinya si anak akan menceritakan kepada orang tuanya tanpa perlu didorong atau dipaksa.
4.    Jangan Terus Menjawab Segala Pertanyaan
Meskipun salah satu tugas orang tua adalah memberi informasi, maklumat serta pengetahuan yang benar kepada anak, namun sebaiknya orang tua tidak semestinya terus menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan. Sebaliknya berikan kesempatan kepada anak untuk menjawab pertanyaan tersebut. Kita sebagai orang tua hanyalah memastikan apabila jawapan itu benar atau salah dan berilah penghargaan jika ia benar. Kesempatan ini  akan  melatihnya untuk  mencari alternatif-alternatif  dari  suatu  pemecahan masalah. Misalnya, “Mak, kenapa kita perlu mandi dua kali sehari? ” Biarkan anak memberi beberapa jawapan sesuai dengan apa yang dia tahu. Dengan demikian anak akan terlatih untuk tidak begitu saja menerima jawapan orang lain, yang akan diterima mereka sebagai satu jawapan yang baku.
5.    Dorong Anak Untuk Melihat Alternatif
Sebaiknya anakpun tahu bahawa untuk mengatasi suatu masalah , orang tua bukanlah satu-satunya tempat untuk bertanya. Masih banyak sumber-sumber lain  di  luar  rumah  yang  dapat  membantu  untuk  mengatasi  masalah  yang dihadapi.  Untuk  itu,  cara  yang  dapat  dilakukan  oleh orang  tua  adalah  dengan memberitahu sumber lain yang tepat untuk membantu mereka mengatasi suatu masalah. Dengan demikian anak tidak akan hanya terus bergantung kepada orang tua, yang bukan tidak mustahil kelak akan menyusahkan dirinya sendiri. Sebagai contoh, ketika si anak datang pada orang tua dan mengeluh bahawa basikalnya mengeluarkan bunyi bila dikayuh. Anda dapat memberi jawaban : “Cuba ya, nanti kita periksa kat bengkel basikal.”
6.    Jangan Patahkan Semangat Mereka
Tidak  jarang  orang  tua  ingin  menghindarkan  anak  dari  rasa  kecewa  dengan mengatakan “mustahil” terhadap apa yang sedang diusahakan anak. Sebenarnya apabila anak sudah ingin memperlihatkan keinginan untuk berdikari, dorong mereka untuk  terus  melakukanya.  Jangan  sekali-kali  anda  membuatnya  kehilangan motivasi atau harapannya mengenai sesuatu yang ingin dicapainya. Jika anak minta izin anda,  “Ayah,  Adam nak pegi ke sekolah hari ini dengan motosikal ayah, boleh tak? ” Tindakan untuk menjawab : “Wah, banyak cantik Adam. Kamu tahu tak keadaan jalan raya yang sibuk dan kamu lesenpun tak ada. Lebih baik tak payahlah” seperti itu tentunya akan membuat si anak kehilangan unsur-unsur motivasi di dalam dirinya untuk berdikari. Sebaliknya jika si ayah berkata “Adam nak bawa motorsikal ke sekolah ke? Isy, Adam, cuba Adam beritahu ayah kenapa nak bawak motosikal ke sekolah, ayah nak dengar” Dengan cara ini, paling tidak anak mengetahui bahawa orang tua sebenarnya mendukung untuk bersikap berdikari. Meskipun akhirnya, dengan alasan-alasan yang anda ajukan, keinginannya tersebut belum dapat dipenuhi.

7.    Berdoalah dan Jagalah Lidah Kita

Di samping segala program, usaha dan ikhtiar yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak untuk menjadikan diri anak itu seorang yang berdikari seterusnya menjadi insan yang berjaya di dalam hidup mereka dengan berdoa.  Sebagai seorang yang beragama terutama bagi orang Islam, berdoa adalah salah satu unsur penting di dalam mendidik anak-anak mencapai visi dan misi keluarga.  Elakkan daripada menyebut atau memanggil (menggelar) anak-anak kita dengan perkataan-perkataan yang negatif dan tidak jelas maksudnya. Apatah lagi kalau kata-kata tersebut memberi erti yang tidak baik. Contohnya "hey bodoh, jangan la kamu berlari-lari dalam rumah ni", "kamu ni kan, duduk atas kerusi macam monyet". Doa seorang ibu atau bapa amat mudah dimakbulkan oleh Allah, terutama jika perbuatan itu sering diulangi saban hari. Biarpun apa yang kita dilakukan hanya sekadar menyebut-nyebut perkataan tersebut dan tanpa niat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan