10 Februari, 2011

SCORE A - DR FADZILAH KAMSAH


7 kaedah mendidik anak cemerlang dr Dr Fadzilah Kamsah

 10 Februari 2011  
Filed under 
Berita TerkiniTips Ibu BapaTips Pelajar
Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain.
Menurut Datuk Dr. Haji Mohd fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.
Rasulullah s.a.w. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:
Tahap pertama:Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.
Tahap ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

1. Kaedah pesanan dan arahan.

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.

2. Kaedah Bercerita

Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.

3. kaedah Soal jawab

Bersoala jawab denagn anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.

4. Kaedah merujuk pengalaman lalu

Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunay mereka berwaspada denagn peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.

5. Kaedah nasihat dan teguran

Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.
Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.

6. Kaedah bermain dan bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Kaedah latihan yang berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-
a. Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
b. Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Sumber majalah Wanita November 2005 oleh Noraishah Ismail

Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?

February 17, 2010 by admin 
Filed under 
MotivasiTips Ibu Bapa
Semua ibu bapa mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka.  Orang biasanya tidak tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM.  Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat.  Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.  Yang mampu, sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh guru-guru pakar.  Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang.
Sebelum kita menekan anak-anak cuba semak diri kita dahulu.  Adakah kita telah memainkan peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan tersebut?

Berikut adalah perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan:

Menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa.  Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah rendah.  Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat belajar.  Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru.  Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah.  Oleh itu sebagai ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja.
Sediakan satu bilik atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah.  Pastikan ruangan ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan.  Pastikan juga cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar mereka.

Tidak ragu-ragu untuk disiplinkan anak

Pelajar cemerlang adalah pelajar yang berdisiplin.  Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka.  Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya.  Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak.  Duduk dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka.  Terangkan pada anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar, beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya.  Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari.  Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di rumah atau di luar.  Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka.

Mengawasi dan menemani anak

Ibu bapa boleh meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan menemani anak ketika waktu belajar mereka.  Untuk anak-anak peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari.  Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta kemahuan mereka.

Sabar dalam mengajar

Mengajar anak sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi.  Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar anak-anak dalam pelajaran mereka.  Mereka geram kerana anak-anak mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya.  Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti kita.  Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka.  Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba.  Kalau mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan sebagainya.  Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya.

Selalu berbincang dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah

Kenali siapa guru anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka.  Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan sebagainya.  Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah.  Dengan cara ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita.  Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan ‘self-esteem’ mereka.  Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa.  Komitmen anak-anak secara langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka.

Ikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah

Jangan tunggu hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak.  Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak.  Ibu bapa hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa.  Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada.  Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin.  Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu.  Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi.  Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam pelajaran mereka.  Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada kebolehan dan masa depan.  Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha.  Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal.  Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.

Kenali rakan-rakan anak dan ibu bapa mereka

Rakan-rakan adalah orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta imej mereka.  Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah nanti.  Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya.  Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa mereka.  Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak.  Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak.  Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur dan menasihati anak kita.  Dengan cara ini anak kita dan rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana utamakan pergaulan.

Sentiasa mengintai peluang yang boleh memajukan anak

Dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka.  Ibu bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan anak-anak.  Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran.
Disamping itu, program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka.  Ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan.  Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi.

Jadikan budaya membaca sebagai suatu amalan

Masyarakat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah.  Penyakit ini menular dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya.  Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di rumah.  Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga.  Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku.  Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri.  Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata.  Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.

Memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka

Adalah tidak adil apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan dan emosi mereka.  Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya.  Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu belajar.  Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari keluarga.  Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan.  Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya.  Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur.  Adik kecil boleh gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna.  Malah, ibu bapa boleh gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu.  Dengan cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya.

Meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak

Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita.  Namun begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak mereka.  Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa tertekan.  Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung.  Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang baik.  Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi.  Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu.  Adakah ia menjadikan anak kita lebih bijak?  Pastinya tidak.  Adakah ia akan mengubah cara anak kita belajar? Mungkin juga tidak.  Ia hanya akan melukakan lagi hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka.  Oleh itu, bincanglah dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk capai matlamat tersebut.  Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa.

Tidak merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain

Manusia mudah percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu mempunyai pengaruh atas dirinya.  Begitulah juga anak kita.  Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di depan anak-anak mereka.  Misalnya, “anak saya ni malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi.  Wajah anak tiba-tiba berubah.  Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa, marah dan sebagainya.  Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu.  Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka percaya itulah diri mereka yang sebenar.
Kesilapan sebegini dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari.  Jadi mulai hari ini, kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran mereka.  Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih kepada kelebihan mereka.  Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas, buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain.  Tegur perbuatannya bukan orangnya.

Tidak membanding-bandingkan kebolehan

Ibu bapa perlu ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza.  Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik.  Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya.  Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka?  Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan mereka.  Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula.  Oleh itu, membandingkan anak tidak membantu kecemerlangan mereka.  Adakah ini bermakna kita tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak?  Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan.  Ibu bapa, lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka.  Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak ambil kisah.  Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini.  Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa.  Cukup sekadar menegur dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka.  Waktu lain, ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan tauladan.  Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka.

Ganjari bukan sahaja hasilnya tapi juga usahanya

Manusia hanya berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya.  Sekiranya ibu bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam PMR.  Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan.  Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak.  Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan.  Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.  Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya.  Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka.  Namun begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang berbeza.  Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit.  Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30 sahaja.

Sentiasa doakan kejayaan anak

Doakanlah kejayaan anak-anak sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja.  Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul.  Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa.  Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan mereka.  Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang buat di rumah?  Ketika itu terus berdoa dalam hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti.  Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa ibu.  Saya datang dari keluarga yang miskin dan  dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.  Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam.  Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.”  Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”.  Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu.  Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan dalam hidup saya.  Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka.  Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu.

Jaga Sumber Makanan

Kita adalah apa yang kita makan.  Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih untuk anak-anak kita.  Makanan akan menjadi darah daging mereka.  Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya.  Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting ini.  Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t.

Tidak berputus asa dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah.

Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita.  Oleh itu tidak perlu kita berputus asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk melihat mereka cemerlang.  Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha yang lain.  Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada pendekatan yang lain.  Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan.  Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya.  Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita.  Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya.  Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat Allah.  Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.
Perlu diingat, anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan kerohanian.  Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya.  Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka.  Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.

Cemerlang anak, cemerlang ibu bapa

January 15, 2010 by admin 
Filed under 
MotivasiTips Ibu Bapa
Kecemerlangan hari ini biasanya ditakrifkan dengan pencapaian hebat dalam peperiksaan. Orientasi akademik yang lebih menjurus kepada peperiksaan telah menjadikan pelajar yang cerdik tetapi rendah nilai akhlak Islamnya. Justeru kecemerlangan itu haruslah disedari oleh ibu bapa sebagai seorang anak yang berjaya dalam bidang akademik dan pada waktu yang sama mempunyai syakhsiah yang terpuji. Cabaran dunia hari ini mengajak kita berfikir semula untuk menilai siapakah sebenarnya yang benar-benar cemerlang itu. Apakah dengan berjaya mencapai keunggulan dalam akademik, tetapi nilai agama dikesampingkan? Atau apakah dengan mempunyai budi perkerti yang baik, akhlak Islam yang murni tetapi kurang berjaya dalam lapangan ilmu? Kita tidak mahu kedua-duanya, kedudukan yang terbaik adalah mempunyai kelebihan dalam kedua-duanya, baik dan cemerlang dalam akademik juga syakhsiahnya.
Kalau kita lihat dan perhatikan, ibu bapa hari ini lebih resah dan gelisah sekiranya anak-anak tidak dihantar ke kelas tuisyen. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi susah hati sekiranya tidak dapat menghantar anak-anak untuk belajar al-Quran. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi risau jika anak-anak tidak pandai solat. Kita sering mendengar “Alaa…dia masih kecil lagi. Nanti bila besar tahulah dia untuk solat”. Perkara ini harus disedari oleh ibu bapa agar anak-anak yang mewarisi kita menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Berbalik kepada persoalan ‘Kecemerlangan Pelajar dan Peranan Ibu Bapa’, kecemerlangan seorang anak semestinya bermula dari rumah. Suasana yang harmoni di rumah akan mempengaruhi jiwa dan mental anak-anak. Sebab itu kita lihat kebanyakan kes juvana yang berlaku berpunca daripada kepincangan institusi kekeluargaan. Ibu bapa bergaduh di hadapan anak-anak, ibu bapa mengabaikan tuntutan agama dalam kehidupan, ibu bapa sibuk mengejar kerjaya sehingga mengabaikan perhatian kepada anak-anak dan sebagainya. 80% daripada kes juvana yang berlaku disebabkan runtuhnya sistem dalam institusi kekeluargaan Islam. Sebagai ibu bapa kita mesti faham bahawa anak-anak yang masih mentah dan tidak matang mudah dipengaruhi oleh anasir buruk. Sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian kepadanya, mengabaikan asuhan dan didikan agama, maka sudah pasti anak-anak mudah terjebak dalam arus kerosakan. Kita tidak nafikan, ada juga kes pendidikan agama yang secukupnya telah diberi namun anak yang membesar akhirnya menjadi rosak. Hal ini bukanlah alasan untuk kita tidak menjalankan usaha mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna.
Sebelum kita pergi jauh, saya ingin memecahkan sedikit mentaliti ibu bapa hari ini. Kadang-kadang ibu bapa amat pesimis, terlalu rasa rendah diri dan tidak berani untuk menjadi pendorong kepada anak-anak. Jarang sekali di kalangan ibu bapa yang menemani anak-anak ketika melakukan kerja rumahnya kerana bimbang akan ditanya oleh anak-anak soalan yang tidak difahaminya. Lebih-lebih lagi apabila mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Perkara ini sebenarnya suatu kesilapan yang tidak disengajakan. Aspek psikologi anak-anak sebenarnya akan berkembang dan digerakkan apabila anak-anak merasakan kasih sayang yang dicurahkan melalui perhatian daripada ibu bapa. Buatlah apa sahaja di samping anak-anak yang sedang melakukan kerja rumahnya atau mengulangkaji pelajarannya. Sekurang-kurangnya apabila kita menemani mereka belajar, mereka rasa bertuah kerana kita mengambil berat tentang perkembangan pelajaran mereka. Selain itu, setiap kali pulang dari sekolah, kita jarang juga bertanya kepada anak-anak apakah yang dipelajari hari ini, berapa markah ujian yang diperoleh, bila peperiksaan, ada kelas tambahan atau tidak? Ruang yang paling baik untuk membincangkan perkara ini dalam suasana yang biasa dan santai iaitu ketika makan tengah hari atau makan malam.
Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah tugas bapa bukan sekadar menyediakan wang untuk membeli peralatan pembelajaran anak-anak semata-mata.
Artikel ini adalah sebahagian daripada kertas kerja yang disediakan dalam Seminar Penasihatan kekeluargaan Bestari 2, 2005.
“Alangkah bertuahnya anak-anak, rasa dihargai dan disayangi sekiranya ibunya memuji tulisannya yang cantik. Biar pun kita tidak pandai untuk mengajar mereka untuk menyelesaikan masalah pelajaran.” – Ust. Ellias Hj. Zakaria (Ceramah Motivasi untuk Ibu bapa: Sibuk, di mana tanggungjawab ibu bapa? – 17 Dis 2005)

Kaedah Belajar Cemerlang

January 7, 2010 by admin 
Filed under 
Tips Pelajar
1. Semasa di kelas, berikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran guru.
2. Sentiasa bersoal-jawab dengan guru dalam hal-hal pelajaran.
3. Membaca setiap nota yang diberikan oleh guru.
4. Membuat latihan-latihan yang disediakan oleh guru serta mencari latihan-latihan tambahan dari buku-buku latihan.
5. Memahami apa yang dibaca.
6. Membuat nota ringkas untuk semua mata pelajaran.
7. Menggunakan kaedah, simbol, dan tanda-tanda tertentu untuk memudahkan pembelajaran.
8. Belajar menggunakan komputer untuk mendapatkan kefahaman tambahan.
9. Mengadakan kumpulan perbincangan bagi semua mata pelajaran.
10. Mendapatkan pengetahuan daripada pelbagai bahan rujukan sama ada buku, majalah, akhbar dan internet.
11. Mempelajari teknik-teknik menjawab soalan setiap mata pelajaran.
12. Meneliti dan menganalisis trend soalan-soalan peperiksaan yang lalu.
13. Berfikir secara kreatif dan berani memberi idea.
14. Mendapatkan nasihat guru dalam segala masalah yang dihadapi tentang pelajaran dan pembelajaran

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

December 3, 2009 by admin 
Filed under 
Tips Pelajar
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    • kita ingat 10 % apayang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

    …Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….

  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

10 Teknik Menambah Daya Ingatan

November 24, 2009 by admin 
Filed under 
Tips Pelajar

1. Pemecahan Kepada Kumpulan (Chunking)
- Beberapa butir maklumat yang tidak berkaitan dikumpul menjadi satu kumpulan mengikut keseragaman tertentu
- Purata chunk yang mampu diterima mental ialah 7 dan paling banyak, 9
- Ia memerlukan irama tertentu supaya lebih diingati disamping mengurangkan kebosanan
2. Gabungan Huruf Pertama
- Setiap huruf awal digabungkan menjadi satu perkataan yang bermakna
- Gabungan huruf ini juga mempunyai susunan tertentu yang ada fungsinya
3. Daya Imaginasi
- Bahan lisan boleh digantikan kepada bahan lukisan dengan pembentukan w atak-watak dibayangkan dalam fikiran. Ianya diberi gambaran supaya lebih jelas.
- “Visual is more powerful than verbal” Daya ingatan dapat dipertingkatkan sekiranya sesuatu maklumat itu diberi ga mbaran melalui daya imaginasi kerana ia lebih jelas serta kekal kalau diban dingkan dengan maklumat dalam bentuk lisan.
4. Mempunyai Makna
- Beberapa maklumat itu boleh dibuat pembahagian mengikut kumpulan tertentu berdasarkan fungsi yang sama
- Maklumat yang ingin dingati boleh dihubungkaitkan supaya dibentuk dalam satu ayat
- Sekiranya maklumat yang ingin diingati adalah terlalu panjang, hubungkait boleh dilaksanakan dengan membentuk satu cerita.
5. Membuat Peta Minda
- Penggunaan satu imej sahaja sudah dapat menjelaskan beribu-ribu perkataan serta menambahkan daya ingatan seseorang.
- Kata kunci berada hampir di bahagian tengah dan idea yang kurang penting berada di bahagian penghujungnya.
- Setiap perkataan hendaklah ditulis dengan huruf besar.
- Setiap perkataan ditulis atas setiap garisan dan setiap garisan hendaklah bersambung dengan beberapa garisan berkaitan.
- Perkataan-perkataan disusun mengikut ruang yang berkaitan.
- Gunakan warna yang terang.
- Peta minda dihasilkan secara bersahaja.
6. Cara Lokasi
- Mestilah berdekatan dengan beberapa ciri-ciri kesinambungan semulajadi.
- Lokasi yang mudah digambarkan.
- Tempat itu boleh berupa tempat yang benar-benar wujud atau rekaan se mata-mata.
7. Penggunaan Kata Kunci
- Perkataan yang hendak diingati digantikan dengan perkataan yang lain tetapi mempunyai persamaan makna.
- Beri gambaran mental pada kata kunci supaya dapat dibayangkan di dalam minda dan cuba terjemahkan.
8. Penggunaan Gambarajah
- Carta pai dan graf bar boleh membantu mengingati maklumat yang ada kaitannya dengan kuantiti.
- Garisan masa, carta aliran, piramid dan susunan tangga lebih sesuai d igunakan untuk mengingati maklumat dalam bentuk peraturan, cara dan langkah -langkah tertentu yang mempunyai susunan tetap.
- Cara ini boleh membantu pelajar mengulangkaji pelajaran dalam menghadapi peperiksaan. Ia juga meringkaskan nota panjang menjadi pendek, jelas serta menarik.
9. Penggunaan Penanda Wacana
- Teknik ini menghubungkan beberapa fakta daripada satu idea kepada satu idea yang mempunyai kesinambungannya.
- Penanda wacana lebih berkesan sekiranya seringkali digunakan.
10. Penggunaan Soalan
- Dapat membantu menjurustumpukan maklumat umum kepada maklumat penting yang perlu diingati.
- Cara ini juga memudahkan proses penyelidikan, pembacaan, pengulangkajian dan pembelajaran dilaksanakan.
** Dipetik dari blog Score A programme
————————————————————————————————————————————————–
*Anda boleh menyalin kandungan post ini untuk blog anda. Namun anda perlulah menyalin keseluruhan ayat termasuk nama blog ini (sehingga garisan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan